Persaraan Nazri buka peluang calon muka baharu, muda tandingi PRU15

0
1

KEPUTUSAN Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk bersara daripada politik akan memberi peluang kepada muka baharu khususnya calon muda Umno menerajui kepimpinan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Serentak itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata kini tiba masanya Umno memberi ruang kepada muka baharu dan calon muda agar diketengahkan semasa PRU 15 nanti.

“Muka-muka baharu bagi saya bukan hanya usia muda sahaja, ada calon usia 55 hingga 65 tahun yang ada kewibawaan juga perlu ada dalam kepimpinan akan datang untuk satu penggal.

“Ini bagi memimpin calon-calon muda dalam kalangan Pemuda, Puteri, Wanita dan ahli Umno yang dirasakan layak untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti ini,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Mohamed Nazri memaklumkan tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenangi enam penggal berturut-turut PRU15 akan datang.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan ‘reset’ politik berlaku, sekali gus memberi laluan kepada pemimpin baharu.

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda Umno Lembah Pantai itu berkata, PRU15 tidak boleh dipantang enteng kerana ia ibu kepada segala kestabilan politik negara.

“Justeru, rakyat perlu sepakat memilih satu sahaja parti dan komponen yang benar-benar boleh membawa suara dan membantu mengembalikan ekonomi negara pada landasan yang baik, menjamin kesihatan rakyat agar segala usaha dilakukan dalam menangani Covid-19 berjaya.

“Malah kita tidak mahu ada lagi Ahli-Ahli Parlimen yang tidak bermaruah dan melompat parti hingga merosakkan kestabilan politik yang boleh menjahanamkan negara dan rakyat,” katanya.

Muhamad Muqharabbin turut memaklumkan dirinya tidak akan bertanding pada PRU15, sebaliknya ingin membantu Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani agar diberi ruang bertanding terlebih dahulu.

“Sekiranya beliau sendiri tidak mahu, saya serahkan kepada Umno Bahagian dan Pusat untuk memilih siapa lebih sesuai bertanding di sini. Yang penting, bukan calon lompat.

“Kita mahu anak tempatan yang tahu selok belok kawasan, dikenali dan mudah didekati orang kampung dan boleh pantas berkhidmat untuk rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here