Keluarga Malaysia ucap tahniah kepada Bonnie Bunyau

0
1

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin yang menghadiahkan pingat emas pertama negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan beliau, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie Bunyau Gustin menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat, khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun persada antarabangsa.

“Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan mendatang,” menurut kenyataan dikongsikan Istana Negara di Facebook, hari ini.

Bonnie, 22, merangkul emas dengan angkatan seberat 228 kilogram (kg) menewaskan atlet dari Mesir, Mahmoud Attia (191kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (183).

Lebih mengagumkan, atlet kelahiran Sarawak itu memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227kg.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Bonnie Bunyau kerana menghadiahkan ‘Keluarga Malaysia’ pingat emas bagi acara angkat berat.

“Anda kebanggaan kami apabila lagu Negaraku berkumandang dan bendera Jalur Gemilang berkibar di bumi Tokyo. Penghargaan yang sama buat jurulatih dan kontinjen Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada atlet paralimpik negara itu adalah Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Alhamdulillah. Tahniah Bonnie Bunyau Anak Gustin! Keluarga Malaysia amat berbangga dengan pencapaian ini.

“Terima kasih Bonnie atas persembahan yang sangat membanggakan. Demi Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here