DUA lelaki dipercayai menyamar anggota polis dan menyamun seorang lelaki di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Taman Melawati berdekatan Ampang, pada 16 Ogos lalu, ditahan semalam.
Dalam serbuan pada jam 10.30 malam itu, lelaki berusia 36 dan 40 tahun ditahan di Kampung Klang Gate Baharu, Kuala Lumpur oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata dalam serbuan tersebut beberapa telefon bimbit, topi keledar, barangan dan pakaian berlogo polis, selain dua motosikal serta sebuah kereta turut dirampas.
Katanya, siasatan mendapati mangsa berusia 19 tahun itu disamun wang tunai berjumlah RM700, telefon bimbit dan pelbagai dokumen peribadi.
“Sebelum itu, mangsa yang bekerja sebagai juruwang menunggang motosikal di MRR2 sebelum ditahan sebuah lagi motosikal suspek yang memperkenalkan diri mereka sebagai polis.
“Suspek kemudiannya membuat pemeriksaan pada badan dan beg silang mangsa dan mereka bertindak mengambil beg silang dan kunci motosikal mangsa yang turut diugut akan dicederakan jika tidak menyerahkannya.
“Siasatan mendapati modus operandi suspek melakukan samun dengan menyamar polis dan menyasarkan remaja bersendirian di kawasan sunyi dan kurang tumpuan orang ramai.
“Suspek akan terus melarikan diri selepas menyamun mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka penganggur dan mempunyai 30 rekod jenayah termasuk khianat, rusuh, curi kenderaan serta menyamar sebagai polis.
“Ujian saringan air kencing pula mengesahkan mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Penahanan suspek berjaya menyelesaikan satu kes jenayah di Ampang dan empat di Gombak serta Setapak.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dalam mengenal pasti pembabitan suspek lain di Ampang dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga Jumaat ini mengikut Seksyen 392 dan 170 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya memberi perhatian kepada keselamatan diri dan peka dengan keadaan sekeliling.
“Individu yang pernah menjadi mangsa kepada modus operandi samun seperti ini diminta tampil membuat laporan polis untuk membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost

