Kabinet Ismail Sabri sambung legasi kerajaan Muhyiddin – Mahfuz

0
1

LEGASI kegagalan pemerintahan kerajaan sebelum ini telah berulang kembali dan diteruskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi jemaah menteri Kabinet yang baru diumumkan hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, Kabinet yang dibentuk Ismail Sabri ibarat membawa segala kegagalan kerajaan terdahulu apabila muka-muka lama masih membarisi jemaah menteri kerajaan baharu ini.

“Kabinet baharu ini menunjukkan pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ini menyambung legasi peninggalan kegagalan kerajaan sebelum ini yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam siarang langsung di Facebook, hari ini.

Mahfuz yang merupakan Naib Presiden Amanah berkata, kerajaan pimpinan Ismail Sabri ini tidak boleh diletakkan harapan tinggi oleh rakyat dalam melakukan pembaharuan yang lebih baik daripada kerajaan sebelum ini.

“Ini bermakna masyarakat dan rakyat Malaysia tidak akan mendapat sesuatu khidmat dan prestasi yang diharapkan kerana mereka ini terdiri daripada barisan kabinet yang tidak menunjukkan prestasi tinggi dan telah gagal.

“Jadi apa yang nak diharapkan daripada Perdana Menteri baharu ini dalam 100 hari pemerintahannya nanti sedangkan barisan Kabinet beliau ini dibarisi daripada jemaah menteri yang gagal, Kabinet gagal kerajaan Muhyiddin Yassin sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri telah mengumumkan barisan Jemaah Menteri Kabinet kerajaannya pagi tadi.

Rata-rata anggota Kabinet yang dilantik adalah muka-muka lama dan masih menggalas potfolio yang sama seperti kerajaan terdahulu.

Cuma ada beberapa muka baharu yang dilantik seperti Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Shahidan Kassim, Senator Idris Ahmad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here