396 guru di Johor tidak ambil vaksin kerana ragu – TMJ

0
1

DARIPADA 779 orang guru di Johor yang dikatakan asalnya menolak vaksin Covid-19, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, keadaan itu didapati selepas mengadakan pertemuan dengan kesemua guru yang belum divaksinasi berkenaan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di Johor, hari ini.

Menurutnya perjumpaan itu disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Aman Rabu; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Mohd Noh Ibrahim; Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad (secara maya) dan Timbalan Mufti, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

“Saya telah mendengar ulasan dari para guru mengenai isu-isu yang mereka hadapi. Daripada 779 guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.

“Yang bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini, kerana mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” titahnya yang dikongsikan di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, sebilangan guru berkenaan kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin.

“Dalam perjumpaan ini juga, saya telah berkongsi info mengenai program vaksinasi di Johor dan situasi terkini pandemik Covid-19 di Johor.

“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik dan berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” titahnya.

Tunku Ismail sebelum ini dilaporkan akan mengadakan perjumpaan dengan 779 guru di Johor yang dikatakan menolak vaksin Covid-19.

Ia susulan laporan Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang mendedahkan kira-kira 700 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here