PERTUBUHAN Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diterima menjadi parti komponen Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Dalam kenyataan hari ini, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH berkata, ia selaras semangat ‘Khemah Besar’ yang disebut Majlis Presiden PH baru-baru ini.
Beliau berkata, PH terus membuka ruang kepada mana-mana parti dalam blok pembangkang untuk menyertai pakatan itu.
“Sukacita saya umumkan bahawa UPKO telah membuat permohonan rasmi untuk menyertai PH. Mesyuarat Majlis Presiden hari ini telah membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen PH.
“Pintu PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain, malah kami juga mengalu-alukan sekiranya parti-parti ini membuat permohonan untuk menyertai PH,” jelasnya.
Terdahulu, Ketetapan Port Dickson bertarikh 9 April lalu dan untuk menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang, PH mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat.
Saifuddin Nasution berkata, semangat ‘Khemah Besar’ ini adalah bagi memperkukuhkan pakatan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Dalam semangat ‘Khemah Besar’ yang dinyatakan di dalam Ketetapan Port Dickson, PH akan meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan parti-parti pembangkang demi memastikan blok Pembangkang bertambah berkesan dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
“Seperti yang telah diumum sebelum ini, satu pertemuan ketua-ketua parti pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti,” katanya. – Malaysiapost

