‘Ternyata adik Aming anak yang sangat baik dan bijaksana’ – PM

0
2

DATUK Seri Ismail Yaakob menzahirkan rasa sedih di atas pemergian adik Muhammad Aming Salleh Abdullah, kanak-kanak petah berkata-kata yang video-videonya memberi nasihat pernah viral di media sosial.

Perdana Menteri berkata, Muhammad Aming dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 awal pagi tadi.

Menurutnya, beliau pernah memuat naik video pesanan yang disampaikan adik Muhammad Aming pada 23 Januari lalu.

“Ternyata Allahyarham adik Aming merupakan seorang anak yang sangat baik dan bijaksana.

“Sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah untuk Allahyarham adik Aming yang kita sayangi.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham adik Aming. Semoga tabah menghadapi ujian ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Muhammad Aming atau lebih dikenali sebagai Aming, 8, dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi tadi di kediamannya di Tawau, Sabah.

Kanak-kanak itu tiba-tiba mengadu mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

Menurut ibunya, Santi Sabri, 33, sebelum ini Muhammad Aming berada dalam keadaan yang sihat dan aktif tanpa sebarang penyakit atau dijangkiti Covid-19.

Sebelum ini, Allahyarham mendapat tumpuan apabila video-video yang dirakamnya banyak berunsur nasihat termasuk situasi terkini berkaitan pandemik Covid-19.

Salah satu videonya turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi Menteri Kanan (Keselamatan) sebelum ini.

Video berunsur nasihat supaya orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) memakai pelitup muka dimuat naik melalui Facebook miliknya pada 27 Oktober tahun lalu telah diulang siar dan tular di media sosial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here