PM tak umum jemaah menteri Kabinet hari ini

0
2

TIADA pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Pejabat Perdana Menteri mengesahkan perkara itu dalam kenyataan ringkas, sekali gus melenyapkan spekulasi berlegar di media sosial bahawa Ismail Sabri akan mengumumkan barisan Kabinetnya hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang, hari ini.

Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook berkata, sesi menghadap itu berlangsung selama satu jam 30 minit bermula 11 pagi tadi.

Menerusi sesi itu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu daripada Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.

Menurut Istana Negera, sesi menghadap hari ini adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

“Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu.

“Usai sesi menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada Perdana Menteri di Istana Abdulaziz,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here