JAIS kena pantau ‘ulat tayamum’ caj tinggi urus jenazah Covid-19

0
2

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) digesa memantau “ulat tayamum” yang mengambil kesempatan mengenakan caj tinggi ke atas waris jenazah Covid-19.

Perkara itu dibangkitkan oleh ADUN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri yang berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, terdapat waris yang dikenakan bayaran mencecah sehingga RM750 bagi proses tayamum.

“Saya minta pihak JAIS semak balik sebab sampai sekarang masih lagi berlaku kezaliman ini.

“Sekarang bagus tayamum tidak perlu pada jenazah Covid-19, kalau tidak ‘ulat tayamum’ ini ramai ambil kesempatan sampai caj RM750 untuk tayamum sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Wakil rakyat PKR itu juga menggesa JAIS mengkaji semula pelaksanaan kubur berpusat bagi jenazah Covid-19 dengan mengembalikan kebenaran mengebumikan di kawasan perkuburan tempat tinggal si mati.

“Sampai masa kubur kariah diguna semula untuk pengurusan jenazah Covid-19. Kalau alasan mengatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susah nak pergi semua tempat urus jenazah, kita latih ramai sukarelawan kerja dengan KKM sebab nak urus jenazah Covid-19 bukan susah,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Selangor Anhar Opir berkata, jenazah Covid-19 di negeri itu tidak perlu melalui proses tayamum sekiranya memberi risiko jangkitan kepada pihak yang melakukan proses berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 7 Ogos lalu dan telah mendapat perkenan Sultan Sharafuddin pada 11 Ogos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here