POLIS Sabah menafikan dakwaan Sandakan dijadikan sebagai sel bagi kumpulan Abu Sayyaf (ASG) susulan insiden berbalas tembakan membabitkan kumpulan ASG dalam operasi khas yang dilaksanakan minggu lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali menjelaskan, keadaan kawasan pantai timur Sabah yang panjang itu menjadi pintu masuk bagi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dakwaan itu tiada. Tahulah Sabah ini dari timur Sabah ada 1,470 kilometer pantai. Memang itulah pintu masuk utama.
“Bila pasukan keselamatan keluar, tidak kira polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), tentera keluar, mereka akan masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Pada 20 Ogos lalu, pasukan keselamatan menembak mati dua lelaki disyaki kumpulan pengganas ASG dalam kejadian di Pulau Timbang, Sandakan.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, kedua-dua lelaki ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan yang menjalankan Operasi Khas bagi mengesan kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun, Hazani menegaskan bahawa tindakan agresif akan diambil apabila pihak keselamatan Filipina mengesahkan jika ada ahli kumpulan itu masuk ke Sabah.
“Mesej kita sudah sampai di seberang (Filipina) yang kita akan ambil tindakan agresif. Masuk ke sini, kita sahkan pihak keselamatan dan juga Filipina jika mereka ini ASG, kita ambil tindakan sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost

