ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menyarankan agar Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Rashid Hasnon meletak jawatan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat secara sukarela.
Ketuanya, Akmal Nasir berkata ia sebagai mengambil iktibar serta mengikut jejak langkah Datuk Seri Azalina Othman yang meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kelmarin.
Katanya, berkata keputusan Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang wajar dihormati.
“Beliau (Azalina) menyatakan beberapa sebab mengenai tindakan tersebut termasuklah mengatakan kurangnya perbincangan atau keputusan bersama.
“Dan selaku Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat beliau telah tertakluk kepada apa-apa keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Akmal berkata umum mengetahui bagaimana banyak keputusan dan perjalanan Parlimen di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dilihat melemahkan proses demokrasi serta seperti tiada pemisah dengan arahan atau kuasa eksekutif.
“Sekiranya kita benar-benar serius untuk berhadapan dengan krisis pandemik, krisis ekonomi dan krisis kepimpinan, Parlimen sepatutnya mengambil peluang untuk melakukan pembaharuan atau “fresh start”.
“Ini agar ia menjadi istitusi lebih adil dan inklusif, supaya proses semak dan imbang dapat berlaku dengan lebih baik,” katanya lagi.
Kelmarin Azalina yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Beliau memaklumkan pengundurannya dari jawatan tersebut diharap dapat memberi ‘reset’ pada persidangan Dewan Rakyat.
“Dengan pelantikan Perdana Menteri baharu dan tuntutan orang ramai yang kuat dan jelas untuk kerjasama pelbagai parti, saya mengundurkan diri hari ini untuk mengosongkan kerusi saya.
“(Ini) agar kerajaan dan pembangkang memiliki lebih banyak ruang untuk ‘reset’ Dewan Rakyat sehingga dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai dasar dan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

