Agong berkenan kurnia rumah kepada 2 penduduk

0
1

YANG di-Pertuan Agong hari ini berkenan mengurniakan rumah kepada dua penduduk di Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Acheh, Pekan, menerusi Program Kurniaan Rumah Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).

Menerusi kenyataan Istana Negara hari ini, sumbangan itu adalah keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap golongan yang memerlukan.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Kedua-dua penerima rumah kurniaan tersebut, Mohd Khanafiah Abu Bakar dan Norhasnah Mat Yunos, menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda atas kemurahan hati mengurniakan rumah kepada mereka dan menyifatkan kurniaan itu sebagai yang amat bernilai dan bermakna buat mereka.

Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni kedua-dua penerima tersebut dan meninjau kawasan dalaman rumah baharu mereka.

“Semoga sumbangan rumah ini dapat meringankan beban dan memberi keselesaan serta meningkatkan taraf kehidupan mereka selepas kehilangan rumah akibat bencana banjir pada tahun 2020 lalu,” tulis Istana Negara.

Menurut Istana Negara, keberangkatan Seri Paduka Baginda turut mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Baginda dan Pemangku Raja Pahang terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

Usai Program Kurniaan Rumah YASA, Seri Paduka Baginda berkenan mencemar duli berangkat mengurniakan sumbangan kepada 10 golongan asnaf di Kampung Pulai dan Kampung Acheh, Pekan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here