Tiada kesungguhan untuk reformasi sebenar punca tolak tawaran – Syed Saddiq

0
1

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa punca utama beliau menolak tawaran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) sebelum ini adalah kerana tidak mahu terperangkap dengan permainan politik.

Menurutnya, cadangan reformasi diketengahkan Muhyiddin ketika itu hanya diusulkan apabila beliau telah hilang majoriti dan tiada lagi sokongan.

Katanya, jika cadangan itu dibawa sejak tahun lalu sudah lama beliau menyokong kerana cadangan itulah yang dibawanya kepada Muhyiddin pada tahun lalu.

“Ada yang kongsi dengan saya, ‘YB sepatutnya ambil sahaja tawaran dari bekas Perdana Menteri. Macam-macam yang ditawarkan. Sekarang kerajaan pun dah berubah’.

“Kita harus faham. Cadangan dan tawaran itu, dari tahun 2020 saya dah cadangkan. UNDI18, peruntukan Parlimen yang sama kepada pembangkang, reformasi Dewan Rakyat dan banyak lagi.

“Tapi kenapa baru dua minggu lepas nak tawar? Sebab kuasa sudah goyah, kedudukan di dalam kerajaan sudah tidak stabil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, sebab itu beliau menolak tawaran tersebut kerana tiada kesungguhan dan iltizam politik untuk reformasi sebenar.

Beliau berkata, ia bagaimanapun berbeza dengan cadangan reformasi yang dibawakan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Cadangan reformasi Perdana Menteri baharu dibawa awal-awal lagi sebelum undi percaya di Parlimen sebab itu dalam bab ini ada masa untuk rundingan supaya isu reformasi, isu UNDI18 dapat diketengahkan secepat mungkin.

“Buat Perdana Menteri baharu, laksanakan reformasi yang benar. Segerakan UNDI18, beri peruntukan sama kepada Ahli Parlimen pembangkang, martabatkan Dewan Rakyat,” katanya

Menurutnya, reformasi adalah untuk semua dan untuk ubah sistem di Malaysia supaya sesiapa sahaja dalam kerajaan atau pembangkang dapat hak yang sama.

“Fokus kita adalah untuk membela rakyat bukan sekadar hanya bermain politik ‘nombor’ semata-mata,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here