PKR Kelantan kekal menyokong kepimpinan Anwar

0
1

PIMPINAN PKR Kelantan kekal menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden parti dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa cekal dalam perjuangan walau diduga dengan pelbagai ujian selama ini.

Ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat khas Pimpinan Keadilan Kelantan semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, PKR Kelantan berkata keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan kenegarawanan Anwar jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang.

“Kami yakin ciri-ciri ini penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kami akan teruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan institusi negara tanpa bertolak ansur tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kami mendoakan moga kesihatan rakyat terus terjaga tanpa diabaikan dengan kekusutan politik dan negara dapat bangkit daripada krisis kesihatan serta ekonomi dengan pemerintahan yang betul,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor; Ketua Wanita PKR negeri, Naziratul Aini Muhamad Sayuty dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan, Muhd Hafiz Muhd Kasasi.

Sementara itu, PKR Kelantan berkata susulan perubahan pucuk pimpinan negara, pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan melipatgandakan usaha untuk terus membangunkan Kelantan terutama dari segi kemudahan awam.

Kata kenyataan itu, masalah air misalnya, sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan selain peluang pekerjaan harus diutamakan dengan kadar amat segera memandangkan ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Penekanan bukan sahaja kepada pembangunan dari segi infra, malah akhlak serta rohaniah juga perlu seiring.

“Oleh itu, kami akan terus memantau peranan Kerajaan Persekutuan dan negeri dan akan menjadi sebahagian daripada kumpulan pendesak kepada kerajaan seandainya mereka membelakangkan hak dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here