POLIS Sarawak masih menjalankan siasatan berhubung kejadian tembakan melibatkan kematian empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM di Kota Samarahan, 13 Ogos lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pakar patologi.
Menurutnya, bedah siasat ke atas semua mangsa telah dijalankan dan jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing.
“Sampel barang kes meliputi sampel DNA, senjata api dan kelongsong peluru telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Forensik PDRM untuk analisa saintifik.
“Sementara telefon bimbit milik mangsa juga telah dihantar ke Forensik PDRM untuk analisa bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian ini,” katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini, Aidi berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya setelah siasatan lengkap dan laporan pakar diperolehi.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan bagi menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga.
Pada 13 Ogos lalu, empat anggota TUDM maut dalam insiden tembakan yang berlaku jam 7.15 pagi di balai pengawal Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.
Tiga mangsa termasuk suspek mati di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Hospital Jantung Kota Samarahan. – Malaysiapost

