DUA hari berturut-turut kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian menunjukkan penurunan kepada 1.01.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Rt Covid-19 di negara ini mula menunjukkan trend penurunan sejak Isnin iaitu 1.03 dengan 19,807 kes direkodkan selepas berada pada tahap statik pada 1.04 sejak Rabu hingga Ahad lalu.
Dalam perkongsiannya di Twitter, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan pecahan negeri, Sarawak merekodkan Rt tertinggi iaitu 1.26 diikuti Perlis 1.25 dan Sabah 1.19.
Bagaimanapun, bagi negeri yang sering dikaitkan dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi iaitu Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan Rt terendah iaitu 0.96 dan 0.90..
Bacaan Rt bagi Pulau Pinang ialah 1.14; Johor (1.05); Kelantan (1.10); Melaka (1.05); Putrajaya (0.81); Negeri Sembilan (0.85); Kedah (1.08); Pahang (1.01); Perak (1.06); Terengganu (1.03).
Labuan pula tidak merekodkan Rt dengan hanya tujuh kes direkodkan semalam.
Dalam tempoh dua bulan, jumlah Rt tertinggi yang pernah direkodkan negara ialah 1.16 iaitu pada 28 Julai lalu. – Malaysiapost

