Veteran jangan campuri urusan anggota sedang berkhidmat – PVATM

0
1

PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menegaskan tidak wajar kalangan veteran yang telah bersara campur tangan hal ehwal anggota yang diambil tindakan ketika dalam perkhidmatan tanpa mengetahui peraturan dan undang-undang ketenteraan terkini sedia ada.

Ia berkaitan isu pemberhentian dari perkhidmatan ATM (Tentera Darat) Sarjan Wan Ramli Wan Seman daripada batalion 24 Rejimen Askar Melayu DiRaja (24 RAMD) kerana menolak pemberian vaksin Covid-19.

PVATM dalam kenyataan berkata, ia termasuk memberi komen negatif yang boleh mempengaruhi pemikiran veteran lain yang sama-sama tidak mengetahui hujung pangkal isu sebenarnya.

“Respon ini berkaitan terdapatnya beberapa artikel dan video yang tular di media maya datangnya dari warga veteran sendiri.

“Video klip yang dibuat oleh seorang veteran pada 17 Ogos 2021 yang mengaku pembela keadilan melalui temubual dengan Wan Ramli bin Wan Seman yang dikatakan teraniaya.

“Seperti mana kita sedia maklum, tentera adalah satu perkhidmatan unik berteraskan kesetiaan kepada Raja, Negara dan Organisasi, dan kepatuhan kepada perintah dan arahan serta mematuhi disiplin diri tetapkan.

“Tanpa mematuhi sepenuhnya terhadap ketiga-tiga teras prinsip dan sifat dinyatakan maka seseorang itu tidak boleh berkhidmat dalam perkhidmatan tentera,” kata kenyataan itu hari ini.

Katanya, PVATM berpendapat keengganan Wan Ramli yang telah berkhidmat selama 19 tahun dan berpangkat Sarjan untuk divaksinasi boleh membahayakan banyak pihak, termasuk rakan sekerja, komuniti, orang ramai serta keluarganya sendiri.

PVATM juga menyeru rakan seperjuangan veteran agar tidak campur tangan atau membuat sebarang komen negatif terhadap anggota yang sedang berkhidmat.

“Kita mesti memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap pucuk pimpinan tentera untuk mengurus dan mentadbir ATM, iaitu sebuah organisasi yang pernah kita menjadi sebahagian daripadanya.

“Janganlah hendaknya kita veteran menjadi virus yang boleh melunturkan kesetiaan, perjuangan dan pengorbanan kita kepada negara dan bangsa selama ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here