Pelawak hanya bantu siasatan pemerdagangan manusia

0
1

PELAWAK yang dikatakan terbabit kes pemerdagangan manusia untuk seks hanya dipanggil bagi membantu siasatan dan tidak akan didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani berkata sebaliknya dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, esok berhubung kes itu.

“Penahanan pelawak terbabit sebelum ini hanya bagi membantu siasatan kes berkenaan dan dia tidak akan didakwa di mahkamah esok,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Sebelum ini media melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

Dalam operasi berkenaan, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di daerah berkenaan dan kini wanita berkenaan mendapat perintah perlindungan sementara serta ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pelawak berkenaan turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here