BARISAN Nasional (BN) berpendapat konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai cerminan sebenar negara dan diharap akan mengukuhkan perpaduan serta tekad seluruh rakyat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata konsep berkenaan juga menepati matlamat BN yang meletakkan perpaduan dan keharmonian sebagai asas negara Malaysia.
“Dewan Tertinggi BN mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan ucapan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Konsep Keluarga Malaysia adalah cerminan sebenar negara kita dan diharap mengukuhkan perpaduan serta tekad seluruh rakyat untuk sama-sama menggembleng tenaga dan fikiran bagi memacu pertumbuhan Malaysia dan memperkasa kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ucapan sulung Perdana Menteri itu, amat bertepatan dan diharapkan menjadi penyatu seluruh warga dalam menghadapi kemelut negara ketika ini.
“BN yakin, komitmen Perdana Menteri menjadi neraca yang baik untuk beliau memulakan langkahnya dalam menerajui pentadbiran negara di tengah-tengah cabaran pandemik Covid-19, kesuraman ekonomi dan kesukaran kehidupan sosial.
“BN akan terus memberikan komitmen mempertahankan kestabilan politik negara dan bersama-sama Perdana Menteri mengharungi cabaran semasa negara,” katanya.
Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya semalam sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan, memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia bagi menyatukan rakyat tidak kira bangsa, agama dan kaum dalam menangani Covid-19 dan ekonomi.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara. – Malaysiapost

