KKM bantu keluarga Sherie Merlis

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sudah mengambil tindakan menempatkan ahli keluarga pelakon Sherie Merlis di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Royale Chulan.

Menerusi kenyataan di Facebook, KKM turut meminta maaf kepada pelakon berkenaan berikutan kesulitan yang terpaksa dilalui ahli keluarganya.

“Berkaitan dengan video tular mengenai pelakon Sherie Merlis, Kementerian Kesihatan Malaysia memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

“Tindakan telah diambil, adik Sherie Merlis dan pasangan serta dua orang anaknya telah pun ditempatkan di PKRC Royale Chulan,” kata KKM menerusi Facebook.

KKM berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan bagi membantu dan memantau situasi keluarga Sherie Merlis yang berada di Kajang, Selangor.

“Semua keluarga Sherie Merlis, kedua ibubapanya, dua orang anak dan dua orang anak saudaranya kini berada dalam keadaan selamat.

“Perhatian sewajarnya akan diambil oleh KKM dan sebarang kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Pelakon drama Mat Despatch itu buntu apabila terperangkap dalam rumah keluarga bersama adiknya yang positif Covid-19.

Menerusi video berdurasi lebih empat minit yang dimuat naik dalam Instagram (IG), Sherie atau nama sebenarnya, Sharifah Saadah Wan Zainal merayu orang ramai memberikan pendapat bagaimana membantu menyelesaikan masalah membelenggu berikutan terpaksa berhimpit dengan 11 orang termasuk adiknya yang positif dalam rumah kecil dua bilik.

Sherie berkata, apa yang lebih dikhuatiri, suami adiknya kini mengalami demam panas, manakala anak pasangan itu berusia empat tahun itu pula sakit tekak.

Katanya, dia bimbangkan keadaan ibu bapanya yang sudah uzur. Bapa menghidap sakit jantung, manakala ibunya pula mengalami alzheimer dan hanya terlantar atas katil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here