DATUK Seri Mohamed Azmin Ali menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor yang menyentuh pelbagai isu ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor yang ke-14 Tahun 2021 hari ini.
“Patik akan terus bekerja dan berkhidmat demi mengangkat agenda rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat Selangor,” katanya.
Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
“Menjunjung kasih atas titah DYMM Tuanku Sultan Selangor yang telah berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor yang ke-14 Tahun 2021.
“Titah Tuanku yang menyentuh banyak persoalan tentang krisis kesihatan, ekonomi dan politik sekaligus menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap rakyat Selangor,” katanya.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan kesal dengan pergolakan dan pertelagahan politik dalam negara yang amat ketara sejak kebelakangan ini.
Baginda secara peribadi turut menzahirkan ingatan kepada semua Adun Selangor untuk tidak hanya berpolitik dan merebut kuasa sehingga melupakan tanggungjawab utama bagi membela nasib rakyat.
Sultan Sharafuddin bertitah, setiap pemimpin politik sepatutnya mengambil tahu tentang masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat di kawasan masing-masing khususnya dalam mengenal pasti mereka yang terjejas akibat Covid-19. – Malaysiapost

