TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan akan berjumpa dengan Pengarah Pelajaran Negeri Johor dan guru-guru yang dilaporkan menolak vaksin di negeri itu.
Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ menerusi ciapan di Twitter, memberitau pertemuan tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan guru-guru tersebut dalam masa terdekat.
“Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” titah baginda dalam ciapan berkenaan.
Tunku Mahkota Johor membuat ciapan berkenaan apabila seorang netizen berkongsi laporan berita berkenaan 779 guru di Johor menolak vaksin Covid-19.
Sebelum ini, Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang mendedahkan kira-kira 700 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.
Susulan itu, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.
“Kerajaan Johor akan memanggil 700 guru yang menolak vaksin itu secara individu bagi diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober nanti,” katanya. – Malaysiapost

