PN adakan mesyuarat, bincang isu barisan kepimpinan kerajaan

0
1

MESYUARAT khas membabitkan pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dilaporkan berlangsung di Publika, Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, mesyuarat itu bagi membincangkan isu barisan kepimpinaan kerajaan selepas persetujuan dibuat bagi memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.

Antara pemimpin yang dilihat hadir adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung Star, Datuk Guan Dee Koh Hoi; Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin; Ketua Wanita Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Penerangan Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN.

Pemimpinan PN mula tiba di Publika sekitar jam 9.30 pagi tadi, lapor MalaysiaGazatte.

Semalam, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan peletakan jawatan Muhyiddin hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Pada 18 Ogos lalu, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan (SD).

Mengikut SD berkenaan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen kelmarin untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri kesembilan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here