‘Kerajaan baru kena dahulukan rakyat bukan kroni, taukeh kilang’ – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau meletakkan dua permintaan terhadap kerajaan baharu iaitu dahulukan rakyat dan utamakan pencapaian.

Menerusi hantaran Facebooknya Najib berkata, ini bukan masa untuk ‘cuba’ atau ‘usaha’ lagi, sebaliknya kerajaan perlu menggunakan pengalaman dan data dalam tindakan.

“Jangan berulang kali ratib “kita sudah berusaha yang terbaik” tapi berkali-kali gagal dan gagal. Atau berulang kali, kita tak gagal cuma belum berjaya.

“Ini bukan masa untuk “cuba” atau “usaha” lagi. Kita dah ada pengalaman serta paling penting data! Gunakan data dan sains,” katanya.

Najib berkata, beliau tidak sanggup lagi melihat angka kematian akibat Covid-19 termasuk menyaksikan angka kes aktif semakin mencanak naik.

Katanya, isu kesihatan perlu diselesaikan dengan secepat mungkin dan tidak perlu ditangguhkan lagi kerana rakyat sudah lama menderita.

“Kena faham, 3 bulan 10 hari (102 hari) sudah berlalu sejak PKP 3.0 bermula. 2 bulan, 7 hari (68 hari) sudah berlalu sejak Pelan Pemulihan Negara telah diumum.

“Tapi kita masih pecah rekod tertinggi kes baharu hampir tiap-tiap hari. Kita masih top 10 kes baharu Covid dalam dunia (tidak ambil kira saiz penduduk)

“Kita masih antara paling tinggi dalam dunia bagi kadar kes baharu dan kematian baharu Covid (dari segi saiz penduduk),” katanya.

Najib berkata, unjuran ekonomi Malaysia telah dipotong ke sifar oleh syarikat penafaran Fitch dan pasaran saham negara masih paling corot di Asia Pasifik dan kedua paling corot dalam dunia.

“Ini adalah fakta dan realiti. Bukan rekaan. Ini data. Pada keadaan ini, ramai rakyat takut untuk keluar jikapun diberi kelonggaran.

“Yang bekerja terpaksa menanggung risiko. Ada yang terjangkit di tempat kerja. Ada yang hilang nyawa akibat darinya. Data tidak menipu.

“Ramai peniaga juga tak berani meniaga jikapun diberi kelonggaran. Ada juga yang langsung tak boleh berniaga kerana sudah terlalu lama tutup dan wang sudah kehabisan untuk bermula semula,” katanya.

Justeru, katanya keadaan ini tidak boleh berterusan dan untuk memulihkan ekonomi usaha mengawal Covid-19 perlu dilakukan demi kelangsungan hidup rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here