BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya darurat diisytiharkan bagi menangani pandemik Covid-19.
Menerusi kenyataan semalam, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kerajaan baharu yang ada sekarang mungkin sibuk dengan urusan lain.
Katanya, negara tidak boleh menunggu kerajaan baharu disusun sebelum bertindak kerana wabak berkenaan memerlukan pelbagai tindakan segera.
“Sebenarnya inilah masa isytihar darurat kerana tindakan luar biasa perlu diambil. Kita tidak boleh tunggu Kerajaan disusun sebelum bertindak.
“Sekarang kita ada kerajaan yang baru yang mungkin sibuk dengan urusan lain. Sebaliknya wabak ini memerlukan pelbagai tindakan segera,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Pengerusi Pejuang itu berkata, wabak Covid-19 tidak mudah dikawal dan percaya ia tidak akan hilang dengan sendiri.
“Di waktu ini keadaan sudah jadi amat serius. Ia boleh jadi lebih serius dalam masa yang terdekat.
“Saya khuatir wabak ini akan melanda negara dan ratusan yang akan meninggal dunia. Ekonomi tidak boleh pulih dan penderitaan orang ramai akan meningkat,” katanya.
Beliau berkata, ada pihak yang ingin menyumbang tenaga dan kepakaran mereka untuk menghalang perkembangan wabak namun ia ditolak kerajaan.
“Mereka sanggup bekerja secara sukarela. Mereka ini terdiri dari pakar perubatan, ekonomi, sosiologi dan lain-lain.
“Mereka mempunyai pengalaman menangani krisis. Mereka boleh bantu dalam usaha melawan wabak seperti ini.
“Jika badan yang mereka cadang diletak di bawah Kerajaan, politik akan mengganggu tindakan mereka. Adalah lebih baik jika mereka dilantik dan diletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Dr Mahathir berkata, tekanan jiwa yang dipikul rakyat amatlah berat dan ramai yang kehilangan ahli keluarga, rakan sementara ada kanak-kanak yang menjadi yatim piatu disebabkan wabak berkenaan.
“Majalah Economist melapor bahawa Malaysia adalah negara yang terburuk sekali dalam dunia berkenaan dengan mengawal wabak Covid-19. Malaysia dikatakan negara “worst performer” berbanding negara lain di dunia,” katanya.
Semalam, angka kes positif Covid-19 di negara ini melepasi 23,000 apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 23,564 individu positif Covid-19 pada Jumaat.
Jumlah itu merupakan kes tertinggi selama tiga hari berturut-turut direkodkan sejak Rabu lalu. – Malaysiapost

