Pemimpin, ahli politik ucap tahniah kepada Ismail Sabri

0
1

PEMIMPIN dan ahli politik menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, hari ini.

Rata-rata mereka menzahirkan ucapan tersebut di hantaran Facebook dan Instagram masing-masing.

Antaranya, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Syukur Alhamdulillah Tahniah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan setinggi-tinggi Penghargaan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan seluruh Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi Facebook.

Sementara, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengucapkan tahniah dan berharap Ismail Sabri dapat menggalas tugas dengan amanah dan cemerlang.

“Tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

“Selamat menggalas amanah serta menjalankan tugas dengan lebih cemerlang. Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufik dan inayah dalam memimpin negara,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden Umno itu dan berharap usaha untuk memerangi pandemik Covid-19 berjalan lancar demi rakyat.

“Tahniah dan syabas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9.

“Harapan besar seluruh rakyat Malaysia agar usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 terus berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat. Selamat menjalankan tugas, YAB Datuk Seri,” katanya.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki menerusi catatan ringkas di Instagramnya berkata: “Tahniah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Alhamdulillah, amanah sudah bermula. Harapan besar rakyat kita tanggung bersama.”

Sementara itu, Ketua Polis Negara Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan KPN, Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan berkenaan.

“Semoga Malaysia terus gemilang di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri!,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara kira-kira jam 2.30 petang tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here