ORANG ramai dinasihatkan tidak berhimpun untuk menyaksikan kesan akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai yang melibatkan beberapa kampung di Yan, Kedah bagi mengelakkan penularan Covid-19 terus berleluasa di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, ini kerana daerah itu masih lagi berada dalam zon merah.
Menurutnya, setakat ini pihaknya mengambil pendekatan untuk menasihati mana-mana pihak yang berhimpun supaya bersurai secara baik.
“Kita memang menerima aduan berhubung perkara itu dan telah menghantar pasukan untuk menyuraikan mereka. Usaha ini turut dibantu oleh Jabatan Penerangan dan petugas Kementerian Kesihatan.
“Perlu diingat, daerah ini masih berada dalam zon merah. Buat masa ini kita masih mengambil pendekatan untuk menasihat namun jika keadaan berlarutan atau ada pihak yang berdegil, tak mustahil kita akan ambil tindakan,” katanya kepada media malam tadi.
Shahnaz berkata, polis sentiasa diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan daerah tersebut terus dilanda hujan.
“Selain itu kami juga sentiasa membuat rondaan di kawasan berpotensi berlakunya kejadian seperti itu agar setidak-tidaknya dapat memberi amaran awal kepada penduduk mengenai apa yang bakal berlaku.
“Saya juga menasihatkan kepada penduduk supaya mengambil langkah awal dengan meletakkan dokumen penting di kawasan selamat,” katanya.
Terdahulu, menerusi beberapa video di laman sosial didapati orang ramai berkumpul sambil mengambil gambar di beberapa kawasan yang dilanda banjir. – Malaysiapost
Foto : Facebook

