MOTAC beri kebenaran promosi iklan pakej umrah, ziarah

0
1

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi kebenaran kepada syarikat pengendali umrah berlesen untuk memulakan aktiviti promosi dengan memohon kelulusan iklan pakej umrah atau ziarah di bawah fasa interim.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC berkata kelonggaran itu diberi sebagai persediaan awal ke arah pembukaan sempadan oleh kerajaan yang disasarkan pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, ia juga membolehkan penggiat industri menilai serta bersedia dengan bilangan jemaah yang berminat mengerjakan ibadat umrah pada masa terdekat.

“Proses permohonan ini boleh dibuat ke emel [email protected] berdasarkan syarat-syarat dan paramater ditetapkan.

“Antara lainnya adalah membenarkan aktiviti promosi tanpa bayaran dan tidak mengikat mana-mana pihak sehinggalah kerajaan mengumumkan tarikh pembukaan sempadan ke luar negara dan proses-proses perjalanan pelaksanaan ibadat umrah dibenarkan semula bagi rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

MOTAC berkata, kementerian berpandangan bahawa kutipan apa juga bentuk bayaran untuk perkhidmatan pakej umrah atau ziarah ketika ini tidak wajar kerana wujud ketidaktentuan penyampaian, khususnya tempoh perjalanan dan perkhidmatan sebenar yang akan diterima jemaah.

Menurut kenyataan itu, selain dasar semasa kerajaan berkaitan pelaksanaan umrah, semua perkara berkaitan pakej diiklankan sewajarnya boleh ditentusahkan oleh pihak kementerian sebelum iklan dan transaksi perniagaan dijalankan.

“Orang awam juga boleh menyemak iklan-iklan pakej umrah yang diluluskan kementerian di laman web rasmi www.motac.gov.my,” katanya.

MOTAC juga dalam proses menyediakan garis panduan khusus bagi mengawalselia iklan dan pakej-pakej umrah yang akan ditawarkan kepada orang awam di masa akan datang adalah perkhidmatan-perkhidmatan yang melindungi kepentingan awam dan mematuhi kehendak Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

Katanya, ia bagi memastikan promosi oleh syarikat kepada jemaah tidak berunsurkan penipuan dan memperdaya orang ramai.

Sementara itu, MOTAC menafikan sebarang bentuk pengumuman berkaitan harga indikator baharu pakej umrah atau ziarah seperti yang dinyatakan.

Untuk makluman, katanya, harga indikator yang pernah ditetapkan pada tahun 2016 sepertimana dipersetujui anggota Majlis Kawal Selia Umrah pada ketika itu adalah pada kadar RM4,900.

“Merujuk kenyataan oleh Dr Fathir Badri, Pengerusi Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saffta) yang dipetik beberapa portal berita dalam talian dengan menyatakan bahawa, MOTAC sudah menetapkan harga lantai bagi pakej umrah ketika ini antara RM8,000 hingga RM9,000 adalah tidak benar serta boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, MOTAC sedang mengkaji faktor-faktor kenaikan kos khususnya susulan langkah-langkah kawalan pandemik Covid-19 dikenakan Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia.

Jelasnya, sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian yang mana akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah pihak indsutri dan orang awam.

“Pihak kementerian menyeru semua pihak menghentikan cubaan memanipulasi pasaran khususnya melibatkan harga perkhidmatan pakej umrah atau ziarah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here