Apa yang harus dilakukan, telah pun dilakukan – Zahid

0
1

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata harapannya cuma satu, iaitu berharap rakyat segera terselamat daripada ancaman pandemik dan negara dapat dipulihkan segera.

Harapan itu disuarakan Presiden Umno berkenaan sejurus Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Beliau juga bersyukur kerana apa yang harus dilakukan telah pun dilakukan.

“Dan itu sahaja niat serta hasrat tiada yang selainnya apatah lagi rakus merebut kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata sebagai Presiden Umno kini keutamaan saya adalah masa depan parti, agama, bangsa dan negara.

Beliau juga mengakui wujud kerisauan dalam kalangan ahli Umno terhadap perkembangan politik semasa.

“Bagaimanapun yakinlah Umno tetap Umno. Kepada seluruh ahli Umno ini jaminan saya.

“Presiden Umno tidak akan sesekali membelakangi aspirasi parti dan akar umbi.

“Presiden Umno akan tetap bersama mempertahankan jati diri Umno parti milik rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ia sama seperti dilakukan sejak mengambil alih pucuk pimpinan parti setelah detik hitam 9 Mei 2018.

Katanya, tumpuan kini untuk mempersiapkan dan memperkasakan Umno berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Itulah jua wadah sebenar perjuangan parti Umno dalam konteks Malaysia sebuah negara demokrasi.

“Jangan gusar dan jangan bimbang. Umno akan selamanya UMNO. Kepada Allah SWT kita memanjatkan doa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here