PERDANA Menteri Caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan negeri Kedah termasuk agensi berkaitan agar segera memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir di Yan, Kedah, semalam.
Muhyiddin berkata, beliau mengikuti secara dekat bencana banjir kilat yang melanda beberapa buah kampung di daerah itu yang dipercayai kesan daripada fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai petang semalam.
“Justeru, saya berharap kerajaan negeri Kedah serta agensi-agensi berkaitan dapat menggerakkan segera semua bentuk bantuan kepada penduduk di kampung-kampung yang terlibat dalam bencana banjir di Yan.
“Keselamatan dan bekalan makanan perlu menjadi keutamaan ketika ini, katanya menerusi Facebook.
Katanya, beliau difahamkan bahawa petugas-petugas keselamatan dan kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melakukan operasi menyelamat dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan bencana terjamin.
“Semoga tugas-tugas pasukan keselamatan ini dipermudah manakala penduduk yang terjejas serta terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara disediakan bantuan dan perlindungan sewajarnya, dengan selamat dan teratur terutamanya ketika dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.

