WALAUPUN kurang sihat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap hadir ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Perkembangan itu dikongsikan Ahli Parlimen Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
“Moga Allah memberkati Tuan Guru Presiden. Meski dalam keadaan kurang sihat, tetap hadir bersama semua 114 Ahli Parlimen untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
“Bagi mengesahkan sokongan pencalonan DS Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia walaupun boleh dibuat secara online sahaja dengan Tuanku,” tulisnya.
Mohd Khairuddin turut memuatnaik video memaparkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berjalan dalam keadaan bertongkat menuju ke kenderaan, dipercayai untuk ke Istana Negara.
Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan semua 18 Ahli Parlimen parti itu bersetuju untuk menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kesembilan. – Malaysiapost

