TIDAK lama lagi kita bakal memiliki Perdana Menteri baharu, kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Majlis mengadap itu bertujuan mengesahkan Akuan Bersumpah (SD) Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.
“Tidak lama lagi kita bakal memiliki Perdana Menteri Malaysia yang baharu. Doakan yang terbaik untuk rakyat,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Bung Moktar yang juga Timbalan ketua Menteri Sabah antara kumpulan ketiga Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) hadir ke Istana Negara petang ini.
Turut bersamanya ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Datuk Seri M Saravanan (Tapah) dan Datuk Wee Jeck Seng (Tanjung Piai). – Malaysiapost

