KESEMUA 114 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu, diminta hadir ke Istana Negara lebih awal dari masa yang ditetapkan bagi menjalani ujian antigen Covid-19.
Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, berkata beliau menerima arahan berkenaan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk memaklumkan kepada mereka yang telah dititah hadir dari jam 10 pagi hingga 4.20 petang ini.
“Pada menjalankan titah perintah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat untuk hadir di Istana Negara bagi sesi menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada Khamis 19 Ogos 2021 pada jam 11.10 pagi.
“Ahli-ahli Yang Berhormat diminta supaya hadir lebih awal daripada masa yang ditetapkan untuk menjalani ujian antigen Covid-19 di Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan pertama jam 10 pagi, adalah 24 Ahli Parlimen iaitu 18 dari Gabungan Parti Sabah (GPS) dan enam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didahului Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya).
Kumpulan kedua jam 11.10 pagi, 25 Ahli Parlimen iaitu 12 Bersatu, 10 Umno dan 3 bebas yang didahului Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kumpulan ketiga jam 2 petang, juga 25 Ahli Parlimen iaitu 12 dari Umno dan 13 Bersatu yang didahului Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Kumpulan keempat jam 3.10 petang, 22 Ahli Parlimen iaitu 15 Umno, dua MCA dan masing-masing satu dari MIC, PBRS, Bebas, PBS dan STAR yang didahului Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Terakhir, kumpulan kelima jam 4.20 petang ialah seramai 18 Ahli Parlimen iaitu dari Pas yang didahului Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Takiyuddin Hassan.
Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan malam tadi memaklumkan, mereka dipanggil ke Istana Negara hari ini setelah Ismail Sabri mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri baharu.
Sebelum itu, tular tangkap layar mesej WhatsApp menunjukkan Setiausaha Agung Umno itu memaklumkan semua Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) akan ke Istana Negara pagi hari ini.
Kandungan mesej berkenaan turut mengatakan hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi. – Malaysiapost

