
PELAKON, Datin Paduka Eina Azman memohon doa orang ramai bagi kesembuhan dirinya yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan di leher di Hospital Gleneagles, semalam.
Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 26, berkongsikan perkhabaran itu menerusi Instagramnya.
“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah selepas lebih enam jam, akhirnya saya bangun. Ramai yang WhatsApp dan mesej bertanyakan kenapa saya tidak berkongsi apa-apa berita.
“Ramai yang nak tahu saya sakit apa. Sejak akhir ini tahap kesihatan saya kurang sihat,” tulisnya.
Isteri kepada Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden itu mendedahkan bahawa sebelum ini dirinya telah melakukan biopsi pada bahagian leher sebanyak empat kali sejak 2016.
Biopsi adalah tindakan diagnosis yang dilakukan dengan mengambil sampel sel untuk dianalisis, suatu penyakit atau untuk mengetahui jenis pengubatan atau terapi yang terbaik bagi pesakit.
“Saya sudah pernah buat biopsi sebanyak empat kali di leher dari tahun 2016 sehingga hari ini dan sakit saya masih tidak hilang.
“Hari ini (semalam) saya berjaya jalani pembedahan selepas dua tahun sebab tempat biopsi yang saya pernah buat beberapa kali sebelum ini masih bengkak dan sakit.
“Harap-harap selepas pembedahan ini sakit saya akan hilang. Doakan saya,” tulisnya.
Eina mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Kaizer Gurmeet pada 2014. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata kembar, Karl Kareef dan Arianna Aubrey berusia lima tahun. – Malaysiapost
