
“BILANGAN pesakit kategori 5 di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang merekodkan seramai 71 orang Julai lalu, kini dilihat menurun menjadi 26 orang pada bulan Ogos ini,” kata Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Beliau berkata, penurunan itu sejajar dengan liputan imunisasi dos kedua dewasa yang semakin meningkat.
Katanya, selain bilangan kes kategori 5, kategori 3 dan 4 yang dimasukkan ke Hospital di Pahang juga sudah mula menunjukkan sedikit penurunan.
Justeru, Dr Nor Azimi berharap negeri itu dapat mencapai pemulihan bagi kes jangkitan Covid-19 tidak lama lagi seperti Labuan.
“Beberapa hari lepas kita mendengar berita baik situasi Covid 19 di Lembah Kelang. Hari ini Labuan mencatatkan kes sifar Covid 19. Situasi yang memberikan kita harapan bahawa sesungguhnya sudah ada cahaya dihujung terowong.
“Sungguh kita di Pahang turut teruja untuk menghadapi situasi yang sama sedikit masa lagi InsyaAllah. Kita juga membayangkan sudah ada titik cahaya juga di hujung terowong.
“Biarlah hanya titik sahaja tapi memadai untuk kita percaya bahawa usaha-usaha kawalan yang sedang dipertingkatkan seiring dengan liputan imunisasi yang akan meningkat sedikit masa lagi insyaAllah titik cahaya tadi juga akan bersinar di Pahang,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya optimis dengan bekalan vaksin sejumlah 574,510 dos yang dibekalkan ke Pahang pada bulan ini mampu melonjak liputan imunisasi Dos kedua dewasa sebanyak 52 peratus pada akhir Ogos nanti.
“Sekiranya bekalan vaksin tidak terganggu pada bulan September nanti Pahang akan mencapai liputan dos 2 dewasa sebanyak 70% dengan lebih cepat,” katanya.
Oleh itu, beliau memohon orang ramai untuk kekalkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) walaupun beberapa kelonggaran telah diberikan.
“Kita hampir menang. Jangan disebabkan kealpaan kita, kita gagal lagi,” katanya.
Semalam, Malaysia merekodkan kes baharu Covid-19 sebanyak 19,631 kes.
Daripada jumlah itu Selangor mencatatkan 5,753 kes baharu, diikuti Sabah (2,103), Kedah (1,863) dan Kuala Lumpur (1,765).
Johor pula mencatatkan 1,309 kes, Pulau Pinang (1,275), Kelantan (1,268), Perak (1,101), Sarawak (835), Pahang (670), Melaka (623), Terengganu (498), Negeri Sembilan (490), Putrajaya (41) dan Perlis 37 kes.
Labuan sekali lagi mencatatkan sifar kes baharu, kali kedua dalam tempoh empat hari. – Malaysiapost
