APMM patah cubaan seludup 2 tan daun ketum ke Thailand

0
1

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perlis mengagalkan cubaan menyeludup keluar dua tan daun ketum ke negara jiran melalui jalan laut di Pulau Batu Layang tengah malam, semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat risikan dan intipan berterusan daripada pasukan operasi khas.

Katanya, pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber bergerak keluar ke arah sempadan Thailand sekitar jam 12 tengah malam dari Kuala Sanglang.

“Berikutan itu, Zon Maritim Kuala Perlis mengatur gerak aset laut berserta pasukan operasi ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot berkenaan.

“Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, dua suspek yang disyaki membawa daun ketum tersebut bertindak membuang dengan mencampakkan kesemua bungkusan plastik hitam ke laut dan menukar haluan bagi melarikan diri ke daratan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan di lokasi bungkusan yang dibuang itu, telah menemukan 200 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum terapung di laut dengan anggaran berat lebih kurang dua tan bernilai RM 360,000 dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya menerusi Facebook.

200 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum terapung di laut dengan anggaran berat lebih kurang dua tan bernilai RM 360,000

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi penyeludupan adalah sama seperti tangkapan sebelum ini, iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan untuk dipindah ke bot-bot nelayan Thailand di sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Katanya, suspek bertindak membuang muatan bungkusan daun ketum ke laut selepas menerima maklumat daripada ‘tonto’ di Kuala Perlis yang menjadi tali barut atau ejen pemantau pergerakan keluar masuk bot ronda Maritim Malaysia.

“Di samping itu, sindiket juga dipercayai menggunakan ‘dron’ bagi memantau pergerakan bot-bot penguat kuasa yang sentiasa melakukan rondaan ketat di kawasan sempadan negara.

“Aktiviti penyeludupan keluar daun ketum dilihat semakin aktif berikutan harga pasaran semasa di Thailand mencecah RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM70 sahaja.

“Ini merupakan rampasan daun ketum terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis yang juga rampasan kedua terbesar bagi Maritim Malaysia sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih 4 tahun atau kedua-duanya,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here