MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno sedang bermesyuarat membincangkan calon Perdana Menteri baharu untuk diserahkan kepada Istana Negara esok.
Mesyuarat di Menara Dato’ Onn, PWTC, Kuala Lumpur itu turut dihadiri ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Difahamkan, mesyuarat dihadiri 38 ahli Parlimen Umno, 2 MCA dan 1 MIC itu untuk memutuskan hanya satu nama dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata pihaknya sedang berunding bagi membuat keputusan penting itu.
Ia susulan notis dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akaun bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum jam 4 petang esok.
Sebelum ini, beberapa nama dikatakan menjadi pertimbangan sebagai calon Perdana Menteri daripada UMNO, antaranya Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.- Malaysiapost

