DATUK Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berharap babak politik yang berlaku semalam akan membuka lembaran baharu buat Malaysia.
Beliau berharap, satu nafas baharu ke arah pentadbiran Malaysia yang lebih stabil supaya tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha untuk menangani cabaran pandemik Covid-19.
Bekas Menteri Kewangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan kementerian tersebut dan agensi-agensi berkaitan atas kerjasama baik selama ini.
“Selama hampir 18 bulan berkhidmat, saya akui ia tempoh yang amat mencabar bagi #TeamMOF untuk mengimbangi antara nyawa dan kehidupan di samping memastikan kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi semasa pandemik Covid-19.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga MOF serta agensi berkaitan yang banyak membantu saya mengemudi kementerian dalam usaha kita menentang Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau dalam pada itu mengakui, berkhidmat sebagai Menteri Kewangan adalah kemuncak dalam kerjayanya selama ini.
“Ia sangat mencabar tetapi ia menjadi penghargaan terbesar buat saya kerana diberi kesempatan berkhidmat untuk negara.
“Saya akui, saya tidak sempurna. Walaupun telah mencuba yang terbaik, masih ada ruang untuk diperbaiki. Saya telah melakukan tugas sebaik mungkin, tetapi hanya sejarah yang akan menjadi penentu,” katanya.
Tengku Zafrul turut memohon maaf atas kekurangan dari pihaknya sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan.
“Akhir kata, saya menyusun 10 jari memohon kemaafan semua jika terdapat sebarang kekhilafan selama bertugas. Semoga Allah SWT memberkati negara ini dan rakyatnya, Insya-Allah. Stay safe dan semoga kita berjumpa lagi,” katanya. – Malaysiapost

