AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menafikan dakwaan keluar Umno.
Beliau yang menyertai Umno tahun lalu berkata, situasi politik tidak menentu ketika ini tidak akan melunturkan semangat kebersamaan dalam Barisan Nasional (BN) meskipun ditakdirkan menjadi pembangkang suatu hari nanti.
Malah, beliau berkata akan terus memberi tumpuan dan perhatian untuk membantu rakyat yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19 di Melaka terutamanya dalam kawasan Dun Rembia.
“Sekali lagi saya berpegang kepada pendirian akan terus bersama Umno tidak kira apa jua keadaan sama ada kita sebagai kerajaan atau sebaliknya,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Menurut Ketua Penerangan Umno Bahagian Alor Gajah itu, kesilapan terbesar yang pernah dilakukan adalah menyertai PKR.
“Nampak indah tapi bila kita dah masuk ke dalamnya, barulah tahu keindahan itu hanyalah sandiwara sahaja,” katanya.
Beliau turut menafikan namanya disebut-sebut akan menyertai empat wakil rakyat iaitu dua dari BN dan dua dari Bersatu yang mengadakan perjumpaan baru-baru ini.
“Saya tidak akan bersama dengan pihak yang berniat jahat menjatuhkan Umno dan BN semata-mata untuk menubuhkan kerajaan baharu,” katanya. – Malaysiapost

