PN hanya namakan Ismail Sabri calon PM

0
1
ismail sabri

PERIKATAN Nasional (PN) hanya menamakan seorang calon sebagai Perdana Menteri baharu yang akan dipersembahkan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Berita Harian yang memetik sumber PN melaporkan, hasil perbincangan malam tadi, semua bersetuju menamakan Naib Presiden Umno, Datuk Ismail Sabri.

“Ini juga dipersetujui Ahli Parlimen Umno yang tidak bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sekarang terpulang kepada kem Ahmad Zahid, sama ada bersama kami atau sebaliknya.

“Jelas kini, ada 100 ahli Parlimen menyokong PN. Kita sepakat memberikan peluang parti terbesar dalam PN untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Sumber itu menjelaskan, usaha kini sedang digerakkan bagi memujuk kumpulan Ahmad Zahid yang diketuai bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, kumpulan Ahmad Zahid yang disertai 15 Ahli Parlimen Umno pada masa ini menolak mencalonkan Ismail Sabri, sebaliknya menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri selain Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, kumpulan Ahmad Zahid mempunyai dua pilihan, sama ada terus dengan niat mencalonkan Presiden Umno itu atau Tengku Razaleigh atau menerima Ismail Sabri yang disokong ahli Parlimen PN.

“Jika Ahmad Zahid enggan menerima Ismail Sabri dan mahu bersama Pakatan Harapan (bagi membentuk kerajaan baharu), bermakna beliau dan kumpulannya akan mengkhianati Umno dan melanggar keputusan Perhimpunan Agung Umno yang tegas dengan pendirian ‘No Anwar, NO DAP,” katanya.

Terdahulu, semua anggota Dewan Rakyat diarahkan supaya menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang esok untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis berkenaan.

Arahan berkenaan dikeluarkan menerusi notis Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada semua Ahli Parlimen di atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here