KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan secara maya.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau memaklumkan mesyuarat itu antara lain bagi memastikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas.
Katanya, setiap kementerian dan agensi terus memberikan tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi dan mempergiat pelaksanaan dasar-dasar sedia ada demi kelangsungan hidup rakyat dan negara.
“Insya-Allah negara kita akan terus ditadbir dengan baik melalui komitmen tidak berbelah bahagi para penjawat awam dari semua sektor baik keselamatan, pertahanan, kesihatan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya,” katanya.
Mohd Zuki berkata beliau bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Pendidikan, Majlis Keselamatan negara, Kerja Raya dan para KSU serta Ketua Pengarah dan seluruh kepimpinan Perkhidmatan Awam yang lain akan terus teguh bekerja sehabis baik.
“Ia memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan dalam situasi semasa yang mencabar ini,” katanya. – Malaysiapost

