
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan Istana Negara pada jam 1.01 tengah hari tadi, selepas kira-kira 40 minit mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebaik keluar, Muhyiddin yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire melambaikan tangan kepada petugas media yang menunggunya di pintu satu Istana Negara.
Beliau dijadual mengadakan sidang media petang ini untuk memaklumkan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin sebelum itu tiba di Istana Negara pada jam 12.22 tengah hari dipercayai untuk sembah maklum surat peletakan jawatan.
Pagi tadi, beliau mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. – Malaysiapost
