Pemuda Umno cadang PM Interim atasi kemelut politik negara

0
1

KERAJAAN baharu yang bakal menerajui Malaysia mestilah memberi fokus menangani Covid-19, menstabilkan ekonomi dan membantu kebajikan rakyat.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Malaysia juga harus dipimpin oleh seorang Perdana Menteri interim yang berwibawa dan tidak ada kontroversi.

“Andainya Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yasin meletakkan jawatan pagi ini, setelah hilang majoriti sokongan sebagaimana dikehendaki Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, maka kuasa melantik Perdana Menteri baharu terletak sepenuhmya di tangan Yang di Pertuan Agong menurut Perkara 43(2a) Perlembagaan Persekutuan.

“Dilantik seorang Perdana Menteri interim yang tidak kontroversi, tidak dianggap ancaman kepada sesiapa dan tidak ada cita-cita politik untuk bunuh pesaing-pesaing politiknya atau membina ‘political war chess’,” katanya di Facebook.

Mengulas lanjut, Asyraf menjelaskan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sesiapa sahaja di kalangan 220 Ahli Parlimen mengikut budi bicaranya dan pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti.

“Jika Yang di-Pertuan Agong sudah melantik Perdana Menteri, dia ada tempoh 60 hari untuk mengabsahkan kedudukannya yang dianggap mempunyai majoriti di Parlimen (floor test) dengan mengemukakan usul percaya kepada Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadap Yang di Pertuan Agong di Istana Negara hari ini, dipercayai untuk mempersembahkan surat perletakkan jawatannya.

Ketika ini dijangka tiada satu blok politik melepasi angka majoriti mudah iaitu 111, dan Asyraf mencadangkan Perdana Menteri Interim lebih sesuai untuk menyelesaikan kemelut politik negara.

“Perdana Menteri Interim boleh mewujudkan ‘War Cabinet’ atau sebuah Kabinet berfokus sepertimana pengalaman UK dalam beberapa peristiwa besar untuk melawan pandemik penyakit kaki dan kuku, ‘Brexit’, Perang Dunia di zaman Winston Churchill dan Perang Falklands di zaman Margaret Thatcher.

“‘War Cabinet’ bagaikan sebuah Kerajaan Perpaduan ‘unity government’ bersifat inklusif, terdiri daripada wakil-wakil semua parti utama tidak kira kerajaan atau pembangkang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here