“KITA kekal tenang dan berlapang dada.Semua keputusan secara bersama,” kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhydiddin Yassin yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.
Annuar berkata, asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat dan barisan Kabinet memberi khidmat terbaik kepada rakyat hingga ke garis penamat.
“Alhamdulillah selesai mesyuarat kabinet sebelum YAB PM mengadap. YAB PM kini di Istana Negara.
“Kita kekal tenang dan berlapang dada. Semua keputusan secara bersama.Yang penting kita sentiasa menghormati dan mematuhi undang undang dan Perlembagaan negara.
“Asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat. Kepada rakyat kita berkhidmat…hingga ke garis penamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Annuar berkata, beliau mendoakan kesejahteraan berkekalan buat semua warga Wilayah Persekutuan dan memohon maaf sekiranya mempunyai kekurangan sepanjang perkhidmatan.
“Semoga semua warga WP (Wilayah Persekutuan) tanpa mengira kaum atau ugama serta status kehidupan mesti terus dijaga dan di bela Semoga WP dilindungi Allah SWT, dikurnia ketahanan dan immunity menghadapi tularan virus Covid-19 dan lainnya.
“Semoga kehidupan ekonomi,sosial dan keselamatan WP terus pulih. Saya amat faham dan sedar akan kekurangan saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
“Saya insan biasa yg tentunya tidak sunyi dari kesilapan..oleh itu saya memohon ampun dan maaf atas sgala kesilapan,kelemahan dan kekurangan saya selama berkhidmat,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di Istana Negara pada jam 12.22 tengah hari bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong dipercayai untuk sembah maklum surat perletakan jawatan.
Muhyiddin sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas kabinet di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Muhyiddin sebelum ini hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri selepas 15 ahli Parlimen Umno diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap PN dan dirinya. – Malaysiapost

