CUEPACS berharap kerajaan baharu yang akan dibentuk dapat terus menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Presidennya, Adnan Mat berkata walau apa jua kerajaan yang memerintah, menjadi tanggungjawab untuk memberi keutamaan kepada rakyat dan negara terlebih dahulu daripada kepentingan lain.
“Penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan berkualiti dan berkesan untuk rakyat serta negara bersandarkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.
“Penjawat kerajaan akan kekal bebas, tanpa dipengaruhi sebarang ideologi politik dalam meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi diraja.
“Perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adnan berkata Penjawat awam perlu bijak mendepani cabaran dan memberi tumpuan kepada pengurusan risiko serta sentiasa di lapangan untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas terutama dalam mendepani cabaran Covid-19.
“Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti,” katanya.
Beliau berkata, CUEPACS turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri yang telah memberi khidmat terbaik sehingga akhir tempoh pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, jasa dan pengorbanan Muhyiddin dan barisan Jemaah Menteri amat CUEPACS dan warga penjawat awam hargai terutama dalam membela dan memberi khidmat kepada rakyat dan negara.
“Perhatian dan fokus Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap penjawat awam turut CUEPACS hargai. Komitmen ini diharapkan dapat diteruskan oleh kerajaan baru yang akan dibentuk kelak,” katanya. – Malaysiapost

