
TINDAKAN pantas orang awam dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya menyelamatkan tiga beranak daripada dihanyutkan arus deras di Sungai Klang, berhampiran Jalan Kuching, petang semalam.
Difahamkan kejadian berlaku susulan hujan lebat petang semalam yang menyebabkan berlaku banjir kilang dan air sungai terbabit naik serta berarus deras.
Tiga beranak terbabit dikatakan sedang memancing di kawasan sungai terbabit sebelum terperangkap selepas air sungai naik mendadak.

JSPT Kuala Lumpur dalam satu perkongsian di laman Facebook hari ini, memaklumkan mengenai kejayaan menyelamatkan suami isteri serta anak mereka.
“Anggota JSPT KL dengan kerjasama orang awam membantu menyelamatkan seorang lelaki, wanita dan seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam banjir kilat semasa memancing di Sungai Klang berhampiran Jalan Kuching petang semalam.
“Sebaik menerima maklumat dari Gerakan Trafik KL anggota Kawalan Lalulintas bertindak pantas menghulurkan bantuan bagi menyelamat mangsa daripada lemas berikutan arus deras di lokasi kejadian.
“Sikap prihatin anggota JSPT KL dan orang awam membantu orang yang sedang dalam kesusahan haruslah menjadi contoh kepada yang lain,” menurut JSPT KL yang turut berkongsi rakaman video kejadian berkenaan.
Kejadian itu turut dikongsi laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memaklumkan misi menyelamat berkenaan dijalankan oleh Lans Koperal Hafizul Khalis Anuar dan Konstabel Wan Muhammad Hazleeshah Wan Hasbullah.
“Semoga kebaikan dan pertolongan yang anda hulurkan ini, mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya kelak,” menurut perkongsian itu. – Malaysiapost
