Taman rekreasi awam dibuka esok – PM

0
1

KERAJAAN bersetuju membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuatkuasa esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bertujuan memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental.

Menurutnya, bagaimanapun hanya aktiviti secara individu sahaja yang dibenarkan selari prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap dalam Fasa 1 PPN.

“Tetapi ingat, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti jogging, berbasikal dan bersenam dibenarkan, selari dengan SOP sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN.

“Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebenaran itu amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah.

“Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” katanya.

Beliau turut menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab perlu memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam berkenaan.

“Mereka mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksana mengikut peraturan serta garis panduan ditetapkan dan mengelakkan mudarat,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here