Pengusaha kedai gunting rambut lega kerajaan benar beroperasi esok

0
1

Nurul Huda Abhar

PENGUSAHA kedai gunting rambut dan salun kecantikan menyambut baik keputusan kerajaan hari ini yang membenarkan sebahagian aktiviti ekonomi kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa esok.

Presiden Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan (PJRISWP), Ganathiban Murugan berkata, berita baik itu sudah lama ditunggu-tunggu sejak kedai gunting rambut tidak dapat dibuka pada 1 Jun lalu.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu jika terdapat pembaharuan dari segi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam Fasa 1 PPN yang diumumkan hari ini.

“Secara amnya akan ada pembaharuan atau penambahbaikan dari segi SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Oleh itu, kami sebagai pengusaha kedai akan bergerak atas panduan SOP dari MKN.

“Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang membenarkan beberapa lagi aktiviti ekonomi beroperasi bermula esok,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Ganathiban berharap dengan kebenaran yang diberi kerajaan dapat digunakan sepenuhnya oleh pemain industri untuk kembali merancakkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, katanya, diharapkan semua pengusaha perniagaan khususnya kedai gunting rambut tidak alpa menjaga SOP dan panduan keselamatan ditetapkan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Sekarang pun saya sedang sanitasi ruang kedai untuk dibuka esok. Dari segi persediaan dan peralatan kami memang sudah siapkan alat pemeriksaan suhu badan, QR kod MySejahtera, dan buku catatan maklumat pelanggan.

“Cuma kami menunggu jika ada pembaharuan SOP. Mungkin pemeriksaan sijil digital vaksinasi atau sebagainya nanti pihak kami akan diberi pemberitahuan semula,” ujarnya.

Terkini, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 PPN berkuat kuasa esok.

Kemudahan sektor ekonomi itu adalah tambahan kepada kemudahan sektor sosial yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, senarai aktiviti ekonomi itu adalah kedai cuci kereta; kedai elektrik dan elektronik; kedai barangan rumah dan peralatan dapur; kedai perabot; kedai peralatan sukan; kedai aksesori kereta; dan pusat pengedaran dan jualan kereta.

Diikuti pasar pagi dan pasar tani sahaja; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here