TAN Sri Muhyiddin Yassin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.
Perkara itu disahkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, lapor Malaysiakini.
Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berkata hasrat itu dimaklumkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen Bersatu di Publika, ibu negara, pagi tadi.
“Esok akan ada mesyuarat khas Kabinet sebelum Muhyiddin menghadap Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan,” katanya seperti dilaporkan portal tersebut.
Muhyiddin pagi tadi mempengerusikan mesyuarat bersama kepemimpinan Bersatu yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi.
Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahankan kerajaan pimpinannya namun tidak berhasil.
Katanya lagi, meletak jawatan adalah pilihan terakhir Muhyiddin selepas hilang majoriti di Dewan Rakyat susulan beberapa Ahli Parlimen menarik semula sokongan terhadapnya.
“Ini tindakan yang betul dan terhormat untuk Muhyiddin mengikut Perlembagaan, terserah kepada Agong sama ada mahu menerima peletakan jawatan tersebut atau tidak,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Alor Gajah itu menegaskan, pihak yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) belum boleh bergembira atau meraikan perkembangan itu buat masa ini.
Ini kerana katanya, berdasarkan maklumat, blok Bersatu masih memiliki sokongan terbesar berbanding mana-mana kumpulan lain termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah beliau berkata, Umno juga tidak mendapat sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen.
“Kami katakan kami ada 100 Ahli Parlimen, terpulang kepada Agong untuk putuskan,” katanya. – Malaysiapost

