Langkawi jadi projek perintis destinasi gelembung pelancongan

0
1

PULAU Langkawi akan dijadikan projek perintis destinasi gelembung pelancongan sebagai usaha kerajaan merancakkan semula industri pelancongan yang sudah lebih setahun terkesan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan ketika ini sedang meneliti pandangan serta maklum balas pihak berkepentingan berhubung pelaksanaan destinasi gelembung pelancongan berkenaan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) serta pakar-pakar kesihatan telah menyarankan kerajaan agar melaksanakan perancangan itu hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya.

“Manakala, kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Cadangan ini sedang diteliti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selain Pulau Langkawi, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak destinasi terutamanya yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau-pulau peranginan lain yang terdapat di seluruh negara.

“Walaubagaimanapun, perkara ini masih di peringkat perancangan dan kerajaan akan melihat hasil projek perintis (Pulau Langkawi) terlebih dahulu.

“Jika semua berjalan lancar, insya-Allah gelembung pelancongan akan dilaksanakan secara lebih meluas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here